Monday, March 23, 2009

Aku dan Lelaki Dalam Hidupku part 1


Lelaki yang hadir dalam hidupku tidak terlalu banyak dan walaupun jumlahnya sedikit tapi berkesan. Lelaki pertama dalam hidupku adalah bapaku dan yang masih kuingat tentang bapaku yang kupanggil Che ini adalah di kedai kopi di mana orang bertanyakan tentang bulu tanganku yang berwarna keemasan. Semua orang taksub dengan jumlahnya yang lebat dan warnanya tetapi aku tidak ingat tentang perasaan aku waktu itu sama ada aku senang atau sedih.

Aku juga sering menunggu Che pulang dari pasar kerana tiap-tiap hari pasti ada sesuatu yang Che bawa pulang untuk kami, paling tidak gula-gula. Memang Che suka ke bandar (panggilan singkat untuk pusat bandar Pasir Puteh)tiap-tiap hari sama ada dengan basikal atau motor Honda dia sehingganya Che dikenali sebagai Pak Mat Bandar, mungkin untuk memudahkan orang mengenali Che barangkali ya kerana banyak orang Melayu Kelantan bernama Muhammad, Mohamad atau Mamat.

Setelah meningkat dewasa, hubungan aku dan Che seperti renggang, mungkin kerana Che memang tidak suka berbual dengan kami adik beradik kerana pendengaran dia yang tidak begitu baik atau mungkin ada sebab lain yang tidak aku ketahui sampai sekarang. Sebenarnya Che dan aku banyak persamaannya, Che lahir tanggal 29 Julai 1929 manakala aku dilahirkan sehari sesudah Che menyambut ulangtahun yang ke 40 tahun. Waktu pertama kali aku mengetahui tentang hal itu, aku seperti terkejut dan sedikit sebanyak aku mulai mengerti perasaan Che kerana sedikit sebanyak ada persamaan dengan sifat dan sikap kami.

Aku juga suka berbelanja, aku juga keras kepala, aku juga pekerja keras, aku juga mudah marah, aku tidak ingin menyusahkan orang lain kalau sesuatu itu bisa aku lakukan sendiri tetapi aku tidak mampu menghafal dan membaca ayat-ayat suci al Quran semerdu Che. Che amat marah padaku sewaktu aku bergaduh dengan abangku yang kedua kerana aku memandang rendah terhadap abangku. Dari saat itu, aku berjanji pada diriku untuk tidak menghina atau memandang rendah pada sesiapa lagi dan samapi sekarang aku belajar untuk menerima seseorang itu apa adanya.

Masih kuingat saat aku dimarahi Che, aku sangat benci kepadanya kerana mungkin aku merasa sewaktu orang menghina dan memandang rendah padaku, Che tidak ada untuk mempertahankanku. Mungkin sahaja aku tidak pernah dipandang rendah sewaktu Che ada bersamaku. Selama bertahun-tahun aku memendam rasa pada Che, aku anggap aku bukan anak Che dan segala tindak-tanduk aku selama membesar ingin membuktikan pada Che yang aku bisa melakukan segalanya tanpa bantuan dia. Aku jadi lebih percaya diri untuk melakukan segalanya kerana api amarah Che dan sekarang aku berterima kasih pada Che kerana menjadikan aku apa adanya hari ini kerana aku tidak akan berada di sini tanpa Che membetulkan aku. Sayangnya Che telah pergi buat selama-lamanya dan yang tinggal hanya kenangan dan cinta Che yang baru aku kenali di beberapa tahun terakhir Che bersama-sama kami.

Hubunganku dengan Abang sulungku juga tidak terlalu akrab kerana jarak usia antara kami besar, sewaktu aku membesar Abang Din belajar di sekolah Menengah Teknik Muar, Johor. Bila Abang Din sudah mulai kerja, aku menyambung pelajaranku di Kuala Lumpur jadi tidak ada peluang untuk kita berteman baik. Abang din juga seorang yang pemarah dan masih aku ingat aku dimarahi dia tetapi tidak aku ingati apa sebabnya. Kami mulai berbicara sewaktu dia meminta aku menelefon Che kerana mungkin Che rindu untuk berbicara denganku. Abang Din memberikan aku jam tangan warna emas sewaktu aku lulus SPM, sewaktu aku ingin temuduga di Kota Baru dan aku merasakan kasih sayang seorang abang terhadap adiknya. Sekarang aku belajar untuk menjadi adik yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga. Aku berjanji untuk menjaga keutuhan keluargaku dan memberikan bantuan bila perlu terutama kepada anak-anak saudaraku yang masih membesar.

Fikri adalah 'guardian angel'ku sewaktu aku kecil, aku diboncengi dia tiap-tiap hari ke sekolah sampai dia pindah ke sekolah menengah. Aku tidak tahu kenapa aku suka berkelahi dengan dia, mungkin juga kerana aku tidak bahagia dengan hidupku sewaktu kecil atau mungkin semuanya sudah ditentukan dengan yang diatas kerana sekarang perasaan sayangku terhadap dia semakin kukuh. Walaupun Fikri bukan abang yang pintar, dia berusaha untuk memajukan diri dan keluarganya dengan bekerja keras. Semua dia lakukan untuk mencari rezeki dan aku berdoa agar kedua-dua anaknya berjaya dan berguna buat keluarga dan masyarakat.

Lat merupakan adik bungsuku dan harus aku akui, aku sedikit keras dan berlebihan terhadap dia kerana aku mahu dia maju tapi apakan daya, aku tidak mampu merubah dia tanpa kemahuan diri sendiri. Aku sebenarnya menyesal dengan sikapku tetapi apakan daya aku cuma seorang abang yang mungkin juga tidak tahu tentang hidup yang sebenarnya. Aku sepertinya gagal menyelamatkan Lat dari masalah dirinya dan rumah keluarga yang kami dirikan juga tidak sempat Lat diami. Kami amat akrab semasa kecil kerana perbedaan usia antara kami cuma lima tahun dan Lat dengan energinya yang tidak pernah susut membuatkan kami sekeluarga tidak pernah diam mengawasinya. Masih kuingat, ada bawang merah tersekat di hidungnya dan Ibu terpaksa membuangnya dengan hati-hati sewaktu dia tidur. Lat, maafkan aku jika aku pernah menyakiti hatimu dan tahulah kamu aku tidak berniat untuk membencimu tapi sekadar untuk menyedarkanmu dari mimpi-mimpimu.

Walaupun Che dan Lat sudah pergi buat selamanya, aku tetap merindukan kalian dan aku berjanji untuk tidak melakukan hal-hal yang pernah aku lakukan pada kalian. aku berjanji untuk menjadi anak dan adik yang baik dan berguna. Buat Abang Din dan Fikri, akan aku berusaha menjadi adik yang baik dan membantu seadanya jika diperlukan.

Aku dan lelaki dalam hidupku penuh dengan drama dan pengajaran dan kerana itulah aku tidak akan membiarkan hidupku merana lagi. Semoga tuhan yang Maha Esa menjadikan aku insan yang baik dan berguna untuk insan lain.

Jakarta, 27 March 2009
Menunggu Keluarga Abang Din tiba di Jakarta.

No comments: