Wednesday, March 18, 2009

Wanita dalam diriku 1


Aku mulai mengenali sosok wanita dengan memerhati perilaku dan perasaan almarhum ibu dan kakak sulungku, sepupu-sepupuku yang ramai jumlahnya, teman-teman akrab sewaktu kecil dan teman-teman baik setelah dewasa hingga sekarang.

Dari ibuku aku melihat seorang sosok wanita yang penyayang dengan semangat juang yang tinggi untuk melihat anak-anaknya menjadi insan yang berguna dan berjaya. Ibu amat mementingkan pendidikan sekular ataupun agama. Melalui cerita-cerita yang aku dengar dari keluargaku tentang kemarahan ibu terhadap sifat abang sulungku yang malas untuk ke sekolah, aku tahu ibu ingin melihat semua anaknya berjaya dalam pelajaran. Aku tidak pernah mengalaminya kerana mungkin aku memang suka ke sekolah.

Sewaktu kecil aku banyak membantu ibu di dapur untuk menyediakan makan malam kalau ibu kurang sihat atau mengisar beras untuk dijadikan makanan dan kuih muih untuk jualan seperti laksam, nasi dagang, nasi berlauk, lompat tikam, putu mayam berkuah lemak manis dan macam-macam lagi. Aku belajar untuk memasak dengan perasaan, makanya tiap kali

Nik, nama manja kami sekeluarga untuk satu-satunya anak perempuan dalam keluarga yang sebapa dan seibu, merupakan wanita karir yang bijak mengatur keluarganya dan mungkin kerana beliau merupakan seorang guru, soal mendidik anak-anak tentang pentingnya pendidikan tinggi menjadi cukup mudah. Beliau jugalah orang yang sering memberikan aku kata-kata perangsang untuk belajar lebih kuat lagi tidak akan aku lupakan sampai bila-bila. Pengaruh beliau amat besar dalam hidup aku sampai sekarang dan yang jelas sewaktu mencium dahi beliau sebelum dikapankan, aku tidak berdaya menahan emosiku. Setelah almarhum tiada, anak-anak saudaraku walaupun dalam kesunyian dan kehampaan dengan perkahwinan kedua bapa mereka tetap bersemangat dan berjaya menamatkan pendidikan tinggi mereka seperti yang diinginkan oleh almarhum ibu mereka.

Kedua-dua sosok wanita yang aku sanjung dalam hidupku ini amat mementingkan pendidikan mungkin mereka sudah melihat ke depan sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir mereka. Sebenarnya mulai dari zaman nenekku dulu sekitar tahun 1930-an, semua anak-anak beliau termasuk ibu saudaraku, Mak Dah telah diberi peluang untuk belajar setinggi mungkin. Semua anak-anak Tok Wan boleh menulis dan membaca dalam bahasa Jawi dan Rumi.

Dari sepupu-sepupuku aku mengerti tidak ada perbedaan taraf antara lelaki dan wanita kecuali lelaki harus bertanggungjawab menjadi kepala keluarga mereka nanti. Kami semua berusaha keras untuk memajukan diri baik dalam pendidikan agama dan akademi. Aku sebenarnya kagum dengan pencapaian sepupuku Suria dan Ayu yang sedikit sebanyak meniupkan semangat untuk belajar dengan lebih keras lagi dan secara kebetulan aku juga diterima di universiti yang sama dengan Ayu di Petaling Jaya walaupun bidang kita berbeda.

Aku juga akrab dengan sepupu-sepupuku yang tinggal di Jerangau, tanah rancangan Felda tetapi kita hanya bisa berkumpul jika ada acara keluarga dan cuti sekolah yang panjang. Aku mengenali sosok wanita penyayang, selalu bersikap positif, sering ketawa dan jaguh masak dari Mak Kembang, Kak Lah, Kak Ini, Maziah dan Kimah.

Anak-anak saudaraku juga banyak mengajar aku untuk menjadi lebih terbuka walaupun aku masih menutup diriku. Sikap tertutupku itu mungkin kerana aku takut akan mengecewakan mereka jika aku menjadi terlalu terbuka. Aku senang melihat mereka begitu akrab antara satu sama lain dan aku mulai

Sebenarnya ada seorang lagi sosok wanita yang aku kagumi, Kak Nisah kakakku dari hasil perkahwinan bapaku yang pertama. Kak Nisahlah insan pertama yang mengajar aku tentang kembara. Sewaktu berusia lima tahun, aku dibawa kak Nisah ke Manik Urai, sebuah daerah terpencil di Ulu Kelantan tempat beliau bertugas sebagai jururawat. Itulah pengalaman pertama aku berjalan jauh dari dan di sanalah aku belajar mencari etok di Sungai Kelantan dan bagaimana untuk hidup sehari-hari di daerah yang terpencil dan belum membangun lagi sekitar tahun 1974. Setelah Kak Nisah berkeluarga hubungan kami menjadi renggang dan seakan putus kerana beliau juga berpindah negeri setelah bernikah. Hari berganti bulan dan bulan berganti tahun, aku semakin jauh dari Kak Nisah ditambah dengan saat-saat getir membesar serta kesulitan awal untuk mengenal diri sendiri, jarak antara kami semakin ketara. Namun jauh di sudut hatiku, kehadiran Kak Nisah untuk acara-acara keluarga masih aku nantikan. Aku ingin sekali memeluk Kak Nisah erat-erat dan aku berjajni untuk tidak melepaskanmu lagi.

Aku temukan setiap kelembutan dan kenyamanan dengan teman-teman kecilku selain dari sepupu-sepupuku seperti Mek Za,Dura, Moni, Mastura, Zana dan yang lain-lainnya yang terlalu banyak untuk aku namakan. Pengalaman membesar di desa sungguh berkesan seperti ke sawah, ke sungai, makan buah tembikai merah manis bila tiba musimnya, mengail ikan, membuat meriam buluh bila tiba bulan penghujung bulan puasa, solat terawih dan membuat kuih muih hari raya. Setiap pengalaman biarpun pahit dan apalagi yang manis-manis kita lalui bersama dan akan aku kenang sampai ke akhir hayat.

Semangat juang yang tinggi dan keinginan untuk merubah nasib diri dan keluarga menjadi inspirasi untuk aku lebih maju dan berguna untuk masyarakat. Perasaan mereka yang peka dengan perasaan orang lain sedikit sebanyak menjadi sebahagian dari sifat-sifatku sampai sekarang. Aku bersyukur mewarisi sifat-sifat indah wanita dalam diriku.

Siapalah diri ini tanpa wanita-wanita istimewa dalam hidupku. Terima kasih kerana telah memberikan aku sesuatu yang amat bernilai dan paling berharga selama ini.

Kalian wanita dalam diriku.

Jakarta, 19 March 2009

No comments: