Monday, July 27, 2009
Goodbye Datin!
Datin adalah panggilan mesra Glenn dan aku untuk Al Marhamah Puan Yasmin Ahmad. Glenn walaupun bukan orang Malaysia, pernah belajar di Malaysia dan tahu sedikit sebanyak tentang darjah dan pangkat kebesaran di sana. Anehnya aku mula mengenal beliau secara peribadi sejak berpindah ke Jakarta, itupun melalui Glenn. Sebelum ini, aku cuma mengenali beliau melalui iklan-iklan yang kerap menyentuh emosiku dan yang pastinya jutaan rakyat Malaysia yang lain juga. Iklan-iklan yang beliau garap terutama untuk musim perayaan seringkali ditampilkan secara berbeza dan dari sudut pandang pelbagai kaum yang hampir tidak pernah terfikirkan oleh pengarah kreatif lain di Malaysia. Pesanan yang amat kental dengan unsur-unsur perpaduan telah lama beliau canangkan sebelum 1Malaysia menjadi ideologi politik era semasa.
Aku masih ingat beberapa tahun yang lalu, beliau menampilkan keghairahan seorang anak kecil bersiap-siap untuk merayakan momen bersejarah dan melaungkan kalimat istimewa "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" bersama bapa kemerdekaan negara kita. Anak kecil itu bukan Melayu tetapi India. Menurut aku, itulah paparan kehidupan di Malaysia yang berbilang bangsa. Hanya seorang pengarah kreatif yang sensitif terhadap perasaan masyarakat majmuk mampu berfikir dan berkreasi seperti itu. Mulai saat itu, aku menunggu dan menanti-nanti apakah lagi kejutan yang akan beliau sajikan tiap kali lebaran menjelang.
Melalui filem pertama beliau 'Rabun' yang sempat aku tonton di gedung Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru siap pada tahun 2003. Ku akui beliau merupakan seorang 'storyteller' yang unik dalam mengungkapkan setiap persoalan atau mengangkat sesuatu isu yang wujud di negara majmuk seperti Malaysia. Satu persatu filem-filem beliau membentangkan isu-isu yang mungkin dianggap sensitif oleh sesetengah pihak tetapi kerana keikhlasan beliau bercerita, semuanya jadi menghiburkan.
Selama hayat beliau terlalu banyak kontroversi dan rintangan yang harus diharunginya. Sehingga sekarang "Mualaf' belum lagi ditayangkan di Malaysia kerana belum mendapat izin penayangan dari Lembaga Penapisan Filem Negara. Filem ini harus ditonton kerana selain menghiburkan, ia juga sarat dengan pengajaran. Menurut aku, tiada apa yang kontroversi dengan "Muallaf".
Melalui blog "Yasmin the storyteller", beliau sering berbagi pengalaman dalam membahas serta mengupas filem-filem kegemaran beliau dan juga filem-filem yang beliau hasilkan. Selayaknya seorang tokoh kreatif dan selebriti, beliau tidak dapat lari dari cobaan dan dugaan dunia; banyak fitnah dan kata nesta yang terus dilontarkan kepada beliau dan kadang-kadang kita yang membacanya juga merasa terhiris sayu. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Terlukakah perasaan beliau kala menghadapi semuanya itu?
Melalui filem-filem beliau aku dapat merasakan kebahagiaan hidup berkeluarga yang sentiasa menerima setiap kekurangan dan kelebihan yang lain kerana beliau sedar sebagai manusia kita tidak akan pernah sempurna. Ketidaksempurnaan itulah yang menjadikan semua cerita yang beliau garap menjadi unik, menarik dan sempurna di mata dan hatiku yang terdalam. Konflik percintaan antara gadis Melayu dengan pemuda Cina atau India digarap begitu halus dan tulus yang akhirnya membawa kita ke suatu daerah emosi dan simpati yang paling dalam terhadap penolakan atau kekecewaan yang wujud di filem mahupun di realitas kehidupan kita yang sebenarnya. Masih ku ingat satu dialog dialog yang cukup dalam artinya 'dituturkan' oleh seorang yang tidak mampu berbicara tapi cukup berkesan: "Tolonglah ibu ajarkan hati saya untuk melupakan dia kerana saya tidak tahu bagaimana"
Filem terakhir beliau "Talentime" merupakan filem terbaik yang pernah aku tonton sebaris dengan filem-filem kegemaranku yang lain. Semuanya ada di Talentime yang sarat dengan pelbagai permainan emosi; gejolak cinta terhalang, sebuah keinginan untuk diakui, manisnya dan kuatnya hubungan kekeluargaan, kekerasan hidup, alunan musik dan lagu yang penuh makna, metafora kehidupan, kasih ibu, dendam dan sebuah kematian dalam kehidupan.
Itulah kelebihan beliau, bercerita tentang sesuatu seadanya dengan sedikit humor. Seperti juga hidup beliau yang seadanya dan penuh hilai tawa. Aku juga percaya dalam hidup ini kita tidak boleh terlalu serius dan sekali sekala kita harus mampu dan berani mentertawakan diri sendiri.
Setiap kali lebaran menjelang, Glenn akan menitip Kue Lapis Legit 'Prunes' yang dipesan dari Holland Bakery kerana kata beliau, itu kue kegemaran Mak Inom. Kali terakhir Glenn menitipkan kue itu adalah pada lebaran tahun 2008. Kata Glenn, lebaran tahun ini dia tidak akan menitip Kue Lapis Legit Prunes atas permintaan Mak Inom. Semoga Mak Inom diberikan Allah swt kekuatan dan rahmat untuk terus menghadapi cabaran dan dugaan hidup ini dan semoga beliau kembali ceria.
Glenn dan aku begitu merasakan kehilangan seorang teman yang hadir bagaikan pelangi, indah mewarnai langit walau seketika namun amat berkesan. Semoga roh al marhamah dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di dalam golongan orang-orang yang bertakwa, Amin!
Al-Fatihah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment