Tuesday, December 6, 2011

Harga persahabatan

Semakin bertambah usia, kita semakin sensitif dengan perasaan sendiri dan apa yang kita tidak suka dengan diri kita dan juga sikap orang lain. Bukan kerana kita semakin 'judgemental' tetapi pengalaman banyak mengajar kita agar lebih berhat-hati. Sepanjang hidup ini, banyak teman-teman yang datang dan pergi silih berganti. Ada di antara mereka yang banyak meninggalkan kesan dalam hidup kita dan ada juga bagai air lalu.

Peristiwa yang terjadi suatu ketika dahulu mungkin susah untuk dicerna tetapi sudah lama dikuburkan bersama-sama sebuah harga persahabatan yang agak mahal kalau dinilai dengan baik-baik. Persahabatan yang sudah berjalan lebih dari 15 tahun hancur gara-gara hilangnya 'respect' dan rasa hormat antara kawan.

Walaupun berat bahu ini memikul beban dan mencuba untuk mencari serta membina hidup yang baru, perasaan kecewa tidak dapat disembunyikan dari raut wajah yang dulunya serba girang dan 'happy go lucky'. Aku terpaksa melangkah mencari destinasi baru penuh kesangsian kerana sedikit sebanyak peristiwa hitam itu sering menghantuiku dan membunuh rasa percaya diri yang ada yang telah bertahun-tahun aku bina. Alangkah sedihnya hidup ini mengingatkan teman baik sendiri meragui kredibiliti dan nilai tambah dariku yang sudah menimba pengalaman lebih dari 20 tahun di dalam industri berasaskan perkhidmatan.

Aku tidak mahu lagi memandang ke belakang dan hanya meminta yang terbaik buatku. Semoga jalan-jalanku akan terus diterangi dan dirahmatiNya. Semoga saja segalanya akan dipermudahkan buatku nanti, Amin!

Kuala Lumpur
6 Disember 2011
4:31 pm

No comments: