Pilihanraya Umum bukan sahaja membuatkan ahli-ahli politik tidak nyenyak tidur malam tetapi juga membuatkan rakyat biasa seperti saya cemas. Awal tahun 2012 merupakan gelanggang rasmi untuk menilai sokongan rakyat terhadap pemimpin-pemimpin kita yang sekarang ini sibuk mengatur pelbagai strategi untuk memastikan mereka menang. Ada macam-macam strategi yang sering diambil oleh Yang Berhormat seperti kembali ke setiap penjuru desa 'menjanjikan' kemajuan atau 'memberikan' sedikit 'kesenangan' dalam pelbagai rupa seperti jalan baru atau sekadar menghulur bantuan wang ringgit.
Sepatutnya Yang Berhormat-Yang Berhormat semua tidak perlu risau jikalau mereka semua menjalankan amanah dan kepercayaan yang diberikan. Kalau dulu Wakil Rakyat atau Ahli Politik kita benar-benar 'berjuang' demi membela kepentingan rakyat bukan kepentingan sendiri. Apa yang telah terjadi dengan pemimpin-pemimpin kita yang sanggup 'mencuri' kekayaan negara demi kesenangan diri sendiri, keluarga dan kuncu-kuncu terdekat. Tidak ada lagi rasa malu malah bangga dan menunjuk-nunjuk hartabenda dan gaya hidup yang berlebihan.
Apa gunanya kita memilih pemimpin yang 'lemah' dengan godaan dunia? Pemimpin seharusnya
mendahulukan kepentingan rakyat dan mencontohi pemimpin terulung kita Nabi Muhammad SAW. Saya rasa semua rakyat tidak akan memaafkan pemimpin yang terang-terangan 'mencuri' kekayaan milik kita bersama. Kita perlukan pemimpin-pemimpin yang amanah, jujur dan tidak mendahulukan
kepentingan sendiri.
Marilah kita menilai semula tentang pemimpin-pemimpin yang ada pada hari ini dan tanyalah diri
sendiri apakah mereka ini mampu menjadi pemimpin kita semua? Marilah kita bantu generasi masa hadapan kita menjadi generasi yang pintar, jujur dan mampu hidup dalam masyarakat yang majmuk
dengan aman dan damai tanpa rasa sangsi dan wasangka sesama. Kita mampu membuatkan perubahan
jikalau kita semua bersatu kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Bersama-samalah kita melakukan perubahan kecil dalam hidup kita dan nescaya perubahan kecil
ini akan berdampak besar. Jujur saja saya juga tidak tahu pemimpin-pemimpin mana yang bisa dipercayai tetapi kita harus memilih mereka berdasarkan kata hati kita sama ada mereka ini
mampu membawa negara tercinta kita maju, makmur dan aman. Mampukan pemimpin-pemimpin yang
bakal kita pilih menjaga kepentingan generasi muda kita menjadi generasi terbaik yang pernah
kita hasilkan yang mampu bersaing pada peringkat dunia?
Tepuk dada tanya selera.
8:33 pm Kuala Lumpur
6 Disember 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment