Thursday, August 18, 2011

Aku tak takut lagi...


Pengalaman hidup banyak mengajar dan membentuk kita untuk menghadapi hari-hari depan dengan lebih yakin. Kita juga mampu mengatasi setiap rasa bimbang yang sering datang dan pergi silih berganti. Aku tumbuh dewasa dalam serba ketakutan, mungkin juga kerana aku menyadari siapa diri ini sebenarnya pada usia yang cukup muda. Ketakutan inilah menjadikan aku sedikit menutup diri dan ragu-ragu  untuk berekspresi dengan bakat yang ada dalam diri.

Walaupun stigma kuat keluarga Melayu yang mahu setiap anak mereka berjaya secara konvensional tidak terjadi dalam hidupku kerana arwah ibu dan bapaku tidak pernah 'memaksa' aku melakukan sesuatu yang di luar keinginan dan kemahuanku. Aku tumbuh dewasa dengan menyadari kelebihan dan kekurangan diri namun kerana tekanan sosial yang kuat aku jadi takut untuk keluar dari kebiasaan.

Mungkin juga zaman itu belum terlalu banyak orang-orang kreatif yang dianggap berjaya dan hati ini tidak terpanggil untuk melakukan sesuatu yang baru selain dari menghabiskan pelajaran sampai tahap ijazah sahaja. Aku sungguh bersyukur kerana dibukakan hati ini untuk memasuki dunia periklanan yang sememangnya suatu industri baru buat negara yang baru merdeka. Dunia periklanan banyak membuka mata ini melihat dunia kreatif sebagai suatu industri yang cukup penting dalam membantu sesuatu produk atau brand menjadi pilihan ramai.

Aku diterima baik dalam industri yang sekarang sudah bisa diterima oleh banyak orang. Suatu ketika dahulu, industri ini tidak dipandang sama sekali namun masyarakat sudah menyadari akan kepentingan strategi komunikasi yang jitu. Setelah hampir 20 tahun didalam industri ini di Malaysia dan Indonesia, aku harus mencoba untuk membina brand aku sendiri dan mempraktikkan segala yang aku pelajari dan lakukan untuk brand lain.

Aku harus membuang jauh rasa takut dalam diri ini untuk terus maju melakukan sesuatu perubahan dalam diri ini dan juga masyarakat, Insya Allah!


Jakarta, 18 August 2011

No comments: