Sudah terlalu banyak kesedihan yang harus aku ratapi. Hari ini aku mendapat pesanan ringkas 'please call me back' dari Gerrie sewaktu sedang meeting. Selesai meeting aku menelefon Gerrie dengan berita kematian lagi. Kali ini temanku yang aku sanjung dan hormati telah pulang ke rahmatullah, innalillahhiwainnaillahirajiuun! Semoga roh Haris di rahmati Allah swt dan segala amalan baiknya akan dibalas dengan kebaikan juga.
Aku mula mengenal Haris setelah menyewa bilik Zul di Desa Pandan sekitar tahun 1994. Almarhum Haris adalah teman akrab Alex yang merupak teman baik Zul. Kami sering berkumpul untuk makan-makan atau sekadar bersembang. Sebenarnya aku telah mengenal Haris sewaktu pertama kali bekerja di Hundredweight Designs pada tahun 1992 setelah tamat belajar. Agensi tempat aku bekerja yang mengurus semua keperluan design untuk Renong Group di mana Haris bekerja sebagai ketua PR di sana.
Sewaktu di Renong Group, Haris cukup terkenal kerana dia 'cukup berani' dalam meluahkan pendapat beliau. Tidak salah kalau dia menjadi anak kesayangan Dr. Noraini yang merupakan orang yang dipercayai oleh ketua eksekutif Kumpulan Renong waktu itu. Aku kadang-kadang teruja untuk tahu siapa itu Haris yang sering aku dengar namanya disebut-sebut orang.
Haris merupakan seorang anak Melayu yang cukup berjaya pada pandangan mataku. Dia merupakan batch awal anak-anak Melayu yang mendapat peluang untuk belajar di luar negeri. Buat zaman itu, hanya anak-anak Melayu yang 'brilliant' sahaja diberikan keistimewaan itu.
Kalau soal berbicara, tiada siapa yang mampu mengungkapkan kata-kata yang cukup 'witty' yang selalu kena dengan topik yang kita bahaskan. Kami semua teruja dengan kemahiran yang dia ada, seakan kami semua terpana dengan setiap tuturan kata dan pendapat yang beliau luahkan.
Mungkin juga kerana pengalaman yang dia lalui menjadikan dia terkesan 'smart' dalam mengungkapkan setiap pertuturan dan buah fikiran. Pada dasarnya dia merupakan seorang yang 'smart' dan sikap keterbukaan dia menjadikan di seorang yang sangat unik dan istimewa.
Haris juga banyak membantuku menghadapi masa-masa gelapku. Aku masih ingat nasihat dia untuk tidak menahan airmata sewaktu aku ke pusara ibuku. Atas nasihat dia, aku merasakan seluruh beban yang ada dihatiku hilang dan rasa sayangku semakin menebal.
Sekarang ini giliranmu bertemu sang Pencipta. Kita semua akan mengingati dan mengenang segala kenangan terindah bersamamu wahai sahabatku Haris. Semoga kau tenang dan bahagia di sana. Al fatihah!
Januari 21 2010
Jakarta yang muram
7:21 pm